PUTRAJAYA – Peserta dari Afghanistan, Sebghatullah Qazizada, dinobatkan sebagai juara Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2012 (PABM 2012) menjulang Piala Perdana Menteri bagi kategori antarabangsa yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini malam ini.
Penuntut dari Universiti Awam Kabul itu jelas meraih sorakan para hadirin yang memenuhi Dewan Plenary, PICC, dengan pidatonya yang padat diselang-seli dengan lawak jenaka yang menambat hati para juri pertandingan.
Sebghatullah ketika ditemui berkata, dia langsung tidak menduga untuk bergelar juara kerana semua peserta peringkat akhir memberikan saingan yang hebat dan bersyukur atas kemenangan tersebut.
“Alhamdulillah, saya sangat terkejut..dan saya sangat gembira, saya bersyukur kepada Allah kerana memberikan kemenangan ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah PABM 2012 yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Menariknya, Sebghtullah berazam untuk membuka sebuah institusi pengajian Bahasa Melayu di Afghanistan suatu hari nanti bagi mengembangkan lagi Bahasa Melayu di kalangan masyarakat di negaranya jika diizinkan Allah.
Manakala peserta dari Malaysia, Fathiah Ibrahim mengungguli kategori nusantara apabila diumumkan sebagai juara pada pertandingan peringkat akhir yang melibatkan lapan peserta tersebut.
Fathiah yang merupakan seorang pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) bersyukur atas kemenangan tersebut dan berbangga kerana dapat membuktikan kepada ibubapa serta keluarga mengenai kemampuannya menyampaikan pidato sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Saya gembira dan bersyukur ke hadrat Allah SWT..dan saya dapat membuktikan kepada kedua ibubapa saya dan keluarga di rumah yang saya sangat mencintai bidang pengucapan umum sampai ke tahap antarabangsa begini,” kata pelajar kursus Ijazah Sains Pembangunan Manusia itu.
Kedua-dua johan pertandingan peringkat akhir itu membawa pulang hadiah wang tunai RM15,200, piala pusingan, piala iringan, hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Naib johan kategori antarabangsa pula dimenangi oleh Polina Matveycheva dari Rusia manakala tempat ketiga menjadi milik peserta dari Latvia, Elena Vorobyeva.
Bagi kategori nusantara, peserta dari Brunei, Dayangku Mumtazah Pengiran Mohamad Jaafar berjaya memenangi tempat kedua manakala tempat ketiga pula jatuh ke tangan Wahyudi, peserta dari Indonesia.
Mereka masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM9,120 dan RM6,080 beserta piala iringan, hadiah iringan dan sijil penghargaan untuk tempat kedua dan ketiga bagi setiap kategori.
PABM 2012 yang dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi diadakan dengan tujuan untuk memartabatkan Bahasa Melayu di persada dunia dan menyaksikan seramai 69 orang peserta dari 67 buah negara dunia mengambil bahagian pada edisi ke-enam kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan